KUCHING – Sebuah bas ekspres yang membawa 26 penumpang dalam perjalanan dari Terminal Bas Kuching Sentral ke Sibu terbakar dalam kejadian di KM 30 Jalan Serian-Sri Aman berhampiran Balai Ringin, kira-kira 100 kilometer dari sini hari ini.
Bagaimanapun bas milik Syarikat MTC Express yang terbakar 80 peratus itu tidak mengakibatkan sebarang kecederaan kepada penumpang.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, pihaknya menerima panggilan pada 2.57 petang, sebelum sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba Serian digerakkan dan tiba di lokasi kejadian yang terletak kira-kira 30 kilometer dari balai bomba tersebut pada 3.28 petang.
Katanya, bagaimanapun operasi pemadaman telah dilakukan oleh pasukan Bomba Sukarela Balai Ringin yang tiba ke lokasi pada jam 2.30 petang, setelah menerima panggilan daripada orang awam.
“Pasukan tersebut telah bertindak dengan membentang satu aliran hos 300 kaki, pam angkut dan sumber air terbuka sehingga kebakaran dapat dikawal dan operasi tamat pada 3.50 petang,” katanya.
Beliau berkata pemandu bas yang melecur di tangan dan telinga dihantar ke klinik kesihatan Balai Ringin untuk rawatan lanjut. – BERNAMA