BAYI ini baru berusia 15 bulan tetapi memiliki keberanian yang menakjubkan malah dia mampu imbang badan untuk berdiri di atas tangan bapanya, Sergio Lima ketika mereka meluncur di laut.
Hadassah gemar meluncur dengan bapanya yang juga peluncur profesional. Mereka menetap di Hawaii, Amerika Syarikat dan Hadasah akan menghabiskan masa bersama bapanya selama sejam setengah sehari untuk meluncur.
Dia mula berbuat demikian ketika berusia empat bulan lagi.
Ibunya, Carly yang juga seorang peluncur, malah sering meluncur ketika Hadassah masih dalam kandungan dan dia dibawa meluncur buat pertama kalinya pada usia empat minggu sahaja.
“Saya meluncur ketika Hadassah masih dalam kandungan dan selepas dilahirkan, dia menikmatinya.
“Kami membawanya ke laut sejak dia berusia empat minggu dan sejak itu dia sangat menyukainya,’’ kata Carly.
Bapa Hadassah, Sergio berasal dari Brazil dan dia juga mula meluncur sejak berusia dua tahun. Sergio mengambil bahagian dalam pertandingan luncur ketika berusia 14 tahun dan kemudiannya meluncur secara profesional selama 10 tahun.
Bagaimanapun ada netizen yang mempertikaikan tindakan Sergio dan Carly yang membawa anak mereka meluncur apatah lagi kanak-kanak itu tidak dipakaikan jaket keselamatan.
Keselamatan kanak-kanak itu sepatutnya diutamakan dan dia boleh dihanyutkan arus deras sekelip mata sahaja. – MYNEWSHUB.CC