SEORANG ibu dua cahaya mata ingin mencabar rekod Guinness sebagai manusia yang memiliki kaki paling panjang di dunia.
Caroline Arthur, seorang bekas peragawati yang kini menetap di Melbourne, Australia memiliki kaki berukuran 51.5 inci (1.3 meter) dari pinggul ke tumitnya.
Wanita berusia 39 tahun itu berkata, dia percaya kakinya merupakan paling panjang di Australia dan mungkin juga di Amerika Syarikat.
“Rekod dunia kini dipegang oleh wanita Rusia, Svetlana Pankratova dengan ukuran 51.9 inci (1.31 meter) dan perbezaan dengan panjang kaki kami berdua sangat kecil.
“Disebabkan ukurannya hampir, saya rasa mungkin berbaloi jika menghubungi mereka (Guinness) untuk mengetahui ukuran panjang kaki saya dengan lebih tepat,” katanya.
Malah disebabkan kakinya yang panjang, Caroline sukar untuk mencari pakaian yang muat untuk bentuk badannya yang kurus itu dan selalu menjadi perhatian ketika berada di khalayak ramai.
Meskipun begitu, menurut Caroline lagi, semasa zaman ramajanya, dia malu dengan ketinggian yang dimilikinya dan akan cuba menyembunyikannya di sebalik pakaian yang dipakainya.
Tetapi segalanya berubah sejak dia menyertai dunia peragaan dan ia telah menambah keyakinan dirinya.
Nampaknya genetik yang dimiliki oleh Caroline turut diwarisi oleh dua anaknya iaitu Cooper, 13 tahun; dengan ketinggian 74 inci (1.88 meter) manakala Zoe, 15; memiliki ketinggian 69 inci (1.75 meter).
Dalam pada itu Caroline turut memberitahu dia tidak kisah dengan gelaran tersebut namun berbangga dengan kelebihan yang dimilikinya. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Daily Mail