SEBUAH parti sambutan tahun baharu 2017 yang diadakan di Brazil bertukar tragedi berdarah apabila seorang lelaki melakukan tembakan rambang sehingga mengorbankan 11 mangsa termasuk bekas isteri dan anak lelakinya, Joao Victor, 8.
Suspek, Sidnei Ramis de Araujo, 46, dilaporkan baharu sahaja berpisah dengan isterinya, Isamara Filier.
Mungkin tidak dapat menerima berita sedih itu, suspek dipercayai menyerbu kediaman keluarga bekas isterinya di Campinas yang sedang mengadakan parti bagi menyambut tahun baharu.
Insiden itu turut mencederakan 15 individu lain yang kebanyakannya merupakan rakan-rakan bekas isterinya.
Menurut saksi, suspek bengang apabila bekas isteri mendapat hak penjagaan anak sebelum dia mula menembak secara rambang.
Selepas melepaskan lebih 30 das tembakan, Sidnei akhirnya membunuh diri dengan menembak dirinya sendiri.
Jiran mangsa pada mulanya menyangkakan bunyi tembakan itu adalah bunyi bunga api. Namun, selepas seorang mangsa berjaya keluar dari rumah bagi mendapatkan bantuan jiran, baru mereka mengetahui sesuatu yang dahsyat sedang berlaku di kediaman tersebut.
Dua mangsa lain terselamat apabila mereka berjaya menyembunyikan diri dalam bilik air yang mana tidak disedari oleh suspek.
Hasil siasatan pihak polis, mereka menemui sebuah rakaman video di dalam kereta suspek yang mana dia meminta maaf bagi apa yang akan dilakukannya itu. – MYNEWSHUB.CC