JIKA beberapa hari lalu tular video pelakon popular Rita Rudaini berseloroh menerusi satu video yang dimuat naik ke laman sosial meminta jejaka-jejaka di luar sana untuk masuk meminangnya.
Namun lain pula bagi pelakon remaja, Elfira Loy yang menawarkan dirinya untuk terus dipinang sahaja oleh jejaka yang mahu memperisterikannya.
Jelas Elfira menerusi Mstar Online, dia telah bersedia untuk melangkah ke fasa seterusnya iaitu alam berumah tangga malah gadis ini turut memberitahu bahawa dirinya bukanlah seorang yang suka bercinta.
“Saya sentiasa bersedia untuk ke fasa seterusnya dalam kehidupan tetapi sehingga kini belum ada lelaki yang sesuai dan benar-benar serius untuk ke arah itu.
“Pada saya kalau lelaki itu betul-betul serius inginkan saya, mereka boleh terus masuk meminang kerana saya bukan seorang yang suka bercinta-cinta,” ujarnya.
Selain itu, penerima Anugerah Ikon ini juga menafikan dakwaan mengatakan dia tidak memberikan ruang kepada dirinya untuk dicintai kerana sibuk menguruskan perniagaan muslimah yang diceburinya.
“Ramai orang cakap saya terlalu kerja kuat untuk kejar duit hingga tidak mahu bercinta. Tapi cinta tidak akan datang pun kalau saya duduk sahaja di rumah, lebih baik saya bekerja,” ujarnya.
Tambah gadis ini lagi, setakat ini belum ada jejaka yang benar-benar mampu membuka pintu hatinya untuk dijadikan teman istimewa. – MYNEWSHUB.CC