KUANTAN – Bilangan mangsa banjir di Pahang turun kepada 4,348 orang daripada 1,156 keluarga setakat pukul 5 petang ini berbanding 5,455 orang daripada 1,461 keluarga tengah hari tadi.
Kenyataan Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) menunjukkan hanya lima daerah di negeri ini masih terjejas dengan banjir dan Temerloh merekodkan bilangan mangsa paling ramai iaitu 1,687 orang daripada 422 keluarga.
Ini diikuti Pekan dengan 1,089 mangsa (296 keluarga), Maran 1,059 mangsa (308 keluarga), Bera 475 mangsa (117 keluarga) dan Rompin 38 mangsa (13 keluarga).
“Sebanyak 68 pusat pemindahan sementara beroperasi merangkumi 19 di Maran, masing-masing 17 di Temerloh dan Pekan, 14 di Bera dan satu di Rompin,” tambah kenyataan itu.
Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang Zainal Yusoff berkata banjir di Jerantut pulih petang ini dengan semua 387 mangsa daripada 152 keluarga yang ditempatkan di sebuah pusat pemindahan dibenarkan pulang. – BERNAMA