KEMAMAN – Idea kreatif seorang peniaga yang membina kedai runcit terapung membuahkan hasil apabila kedai itu dapat menyelamatkan barangan jualannya daripada dihanyutkan air ketika banjir.
Abdul Majid Ngah, 61, dari Kampung Seberang Tayor berkata idea untuk membina kedai terapung itu timbul selepas beliau berhadapan dengan kerugian besar apabila kedai runcit miliknya ditenggelami air sehingga paras bumbung pada tahun 2013.
“Masa tu habis semua barangan jualan saya rosak dan saya memang kerugian besar. Saya mula fikir untuk buat kedai terapung ni dan Alhamdulillah ianya berhasil.
Saya bina kedai ni awal tahun 2014… setiap tahun, bila tiba musim monsun dan air sungai mula naik, saya akan pindahkan barang dari kedai asal ke kedai terapung ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, Isnin.
Abdul Majid berkata beliau membelanjakan hampir RM5,000 untuk membina kedai tersebut menggunakan tong dram yang dijadikan pelampung dan papan.
“Mula-mula saya hanya letak 30 tong dram tapi ianya tak cukup nak menampung berat barangan yang dipindahkan ke kedai ini, jadi saya tambah lagi 20 tong dram.
Masa banjir, kedai saya satu-satunya yang dibuka… dapatlah saya bantu orang kampung untuk mendapatkan barangan keperluan. Penduduk hanya datang dengan bot dan mereka boleh parkir bot di tepi kedai untuk memilih barang-barang yang mereka perlukan,” katanya yang telah berniaga selama tujuh tahun.
Abdul Majid berkata kedai yang dilengkapi dengan tandas dan dapur juga dijadikan tempat tinggalnya dengan anggota keluarga lain sewaktu banjir.
“Kami sekeluarga memang tidur di sini sebab rumah pun banjir. Kami masak di sini sebab saya juga buat ruang untuk memasak.
Kedai ini saya ikat pada pokok yang besar supaya ia tidak hanyut dan insya-Allah ianya selamat,” katanya yang berhasrat untuk membesarkan lagi kedainya.
Sementara itu salah seorang pelanggan Ramzi Saifuddin, 34 berkata kedai tersebut memudahkan penduduk di sekitar kampung itu untuk mendapatkan barang-barang keperluan ketika banjir.
“Memang idea pengusaha kedai ni sangat menarik dan bijak sebab masa saat banjir macam ni kami dapat beli barang keperluan.
Biasanya memang terputus bekalan kalau tak sediakan awal-awal…tapi bila ada kedai ni kami tak risau sangat. Boleh beli bila-bila masa sebab kalau nak keluar ke bandar memang tak boleh sebab banyak jalan dinaiki air,” katanya. – BERNAMA