PASIR MAS – Biro Kebajikan UMNO telah memulakan jelajah bagi membantu mangsa banjir di Kelantan dan Terengganu bermula semalam, kata Pengerusinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.
Beliau berkata bantuan akan diserahkan kepada UMNO negeri dan bahagian yang terkesan sebelum diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan yang terjejas.
“Kita akan beri bantuan berupa makanan kepada mangsa yang tinggal di pusat pemindahan banjir serta mangsa yang tinggal di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghantar bantuan kepada 350 mangsa daripada 150 keluarga di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Rantau Panjang 2 di sini, hari ini. Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang merangkap anggota Dewan Negara Senator Datuk Abdullah Mat Yassin.
Shamsul Anuar berkata konvoi Biro Kebajikan UMNO akan bergerak ke Parlimen Jeli, Machang dan Tanah Merah selepas ini bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di tiga kawasan berkenaan.
Sementara itu, Abdullah berkata UMNO Bahagian Rantau Panjang sebelum ini telah menghulurkan bantuan makanan ke beberapa kawasan yang sering terjejas banjir, antaranya Kuala Itik, Baruh Pial dan Lubok Setol.
“Saya jangkakan paras air Sungai Golok akan terus meningkat, dan lebih ramai yang akan dipindahkan.
“Saya harap penduduk lakukan persiapan awal dan pindah secepat mungkin jika keadaan bertambah teruk,” katanya. – BERNAMA