IPOH – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak sentiasa memastikan lapan hospital di negeri berkenaan yang berusia lebih 50 tahun berada dalam keadaan selamat.
Pengarahnya Datuk Yahya Mahdis berkata hospital yang diberikan perhatian adalah Hospital Bahagia Ulu Kinta; Hospital Batu Gajah; Hospital Tapah, Hospital Gerik, Hospital Parit Buntar; Hospital Kuala Kangsar, Hospital Kampar dan Hospital Taiping.
“Pihak bomba sentiasa bekerjasama dengan pihak pengurusan hospital dalam memastikan hospital tersebut berada dalam keadaan selamat.
“Kita bersyukur kerana kebanyakan hospital lama ini satu tingkat, jadi apabila berlaku kebakaran, ia amat mudah dikawal,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2017 di sini hari ini.
Beliau berkata penubuhan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) oleh pihak hospital juga dapat membantu bomba mengawal kebakaran dan menyelamatkan mangsa.
“Seperti kebakaran berlaku di Hospital Bahagia Ulu Kinta baru-baru ini, pasukan ERT berjaya mengawalnya daripada merebak serta bertambah teruk dan mereka (anggota ERT) yang dah biasa dengan tempat itu tiba di lokasi dengan cepat,” katanya.
Selain itu, beliau berkata penubuhan Jawatankuasa Fire Safety Audit (FSA) oleh Kementerian Kesihatan merupakan satu usaha yang proaktif bertujuan meningkatkan tahap pengurusan keselamatan kebakaran di setiap hospital.
Dalam pada itu, Yahya berkata pihaknya menubuhkan Bomba Komuniti terdiri daripada orang awam, penduduk kampung dan taman sebagai usaha membantu pihak bomba menangani kebakaran di peringkat awal selain menyalurkan maklumat kecemasan.
Beliau berkata pihaknya juga akan menubuhkan Bomba Komuniti Media yang disertai oleh pengamal media di Perak dalam masa terdekat. – BERNAMA