KUANTAN – Hasrat seorang lelaki untuk menggunakan laluan hutan yang lebih mencabar untuk menuruni Bukit Pelindung di sini, menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan selepas dia sesat.
Bagaimanapun, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuantan berjaya menyelamatkan lelaki itu pada kira-kira 9.30 malam tadi selepas menerima panggilan daripadanya pada 7.30 malam.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang Anuar Hassan berkata Zulfadli Mohammad, 27, yang mendaki bukit itu untuk beriadah telah memilih untuk turun menggunakan laluan hutan yang menjadi pilihan segelintir pendaki kerana dikatakan lebih mencabar berbanding laluan jalan tar.
“Mangsa bagaimanapun tidak menjumpai laluan keluar dan menghubungi bomba pada 7.30 malam. Mangsa dijumpai pada pukul 9.30 malam dalam keadaan selamat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Anuar berkata pasukan sembilan anggota bomba terlibat dalam misi mencari dan menyelamat itu. – BERNAMA