WASHINGTON DC – Sebut sahaja alamat 1600, Pennsylvania Avenue North West, di sini, ia kemungkinan besar merupakan salah satu alamat kediaman yang paling terkenal di dunia.
Ini merupakan alamat rasmi White House atau dalam bahasa Melayu disebut sebagai Rumah Putih kerana warna bangunannya dan juga tempat presiden Amerika Syarikat (AS) untuk bekerja sekali gus menjadi rumah rasminya.
Kini kompleks seluas lebih dari 5,000 meter persegi setinggi enam tingkat (termasuk tiga tingkat di bawah tanah) itu menjadi tempat tinggal Donald Trump dan keluarganya setelah beliau dilantik menjadi Presiden AS ke-45.
Meskipun tempat ini sangat terkenal di seluruh dunia, banyak hal yang mungkin tidak diketahui wujud di dalam Rumah Putih dan sudah menjadi tempat tinggal presiden AS sejak pemerintahan John Adams pada 1800.
Bermula pada tahun itulah, pelbagai kisah di dalam bangunan itu selalu menarik minat. Dibina dengan kos hanya AS$232,000 (RM1.03 juta) pada 1790, nilainya kini dianggarkan mencecah harga AS$390 juta (RM1.7 bilion).
1. Apakah presiden dan isteri memiliki waktu ‘peribadi’?
Penjagaan ketat sepanjang 24 jam selama tujuh hari seminggu membuatkan presiden dan pasangannya nyaris tidak memiliki waktu yang benar-benar bersifat peribadi khasnya untuk mereka memadu asmara di atas ranjang.
Namun menurut pendedahan beberapa petugas Secret Service atau perkhidmatan khas yang berfungsi sebagai pengawal peribadi, mereka ada kod rahsia khas jika orang nombor satu di AS itu ingin menyetubuhi isterinya.
Secret Service memberi nama kod khusus untuk presiden sebagai Renegade dan wanita pertama iaitu isteri presiden pula Renaissance manakala kod istimewa untuk waktu peribadi mereka sebagai tengah “bincang masalah Bosnia”.
Jadi, secara umum perbualan antara kalangan anggota Secret Service jika berlaku situasi tersebut akan seperti ini: “Renegade tidak boleh diganggu pada ketika ini. Dia dan Renaissance sedang membicangkan masalah Bosnia.”
2. Tiada banyak waktu untuk pemindahan barangan
Pindah rumah mungkin adalah kegiatan paling penat dalam hidup seseorang, waima jika rumah orang tersebut berukuran agak kecil, urusan pindah rumah tetap meletihkan terutama bagi mereka yang sudah berkeluarga.
Kini bayangkan bagaimana jika seseorang harus pindah ke Rumah Putih dan kemungkinan besar Trump tidak mungkin pindah begitu sahaja sementelahan beliau juga perlu membawa banyak barang peribadi atau sensitif.
Bayangkan kesukaran ini akan bertambah memeningkan kepala kerana waktu pemindahan barang yang diberikan hanya maksimum 12 jam atas faktor keselamatan yang cukup ketat di seluruh kompleks Rumah Putih!
Pemindahan barang-barang peribadi dimulakan pada pukul 12 tengah hari dan setelah itu mereka cuma ada waktu sehingga jam 12 tengah malam untuk membersihkan, mengatur, dan merapikan semua barangan tersebut.
3. Ada pusat perniagaan komersial di bawah Rumah Putih
Di bawah bangunan rasmi presiden AS ini sebenarnya memang terdapat Situation Room, atau bilik situasi iaitu tempat presiden dan para penasihatnya bertemu ketika terjadi krisis besar atau insiden kecemasan.
Ruangan eksklusif ini pernah menjadi sangat terkenal setelah terdedah foto Presiden Barack Obama menyaksikan video secara langsung operasi gempur pasukan khas ke atas banglo persembunyian Osama bin Laden di Pakistan.
Namun, tidak hanya Situation Room yang ada di bawah Rumah Putih kerana terdapat juga sebuah pusat perniagaan mini untuk presiden dan ahli keluarganya dapat berbelanja berdekatan dengan ruangan penting tersebut.
Meskipun tidak menyediakan pakaian mahal untuk Melania Trump yang dikatakan gemar berbelanja besar, tempat komersial berkenaan juga menyediakan kedai bunga, tukang kayu, salun gunting rambut dan klinik gigi.
4. Nama di sebalik Rumah Putih dan mesra OKU
Franklin Delano Roosevelt atau mesra disebut sebagai FDR merupakan Presiden AS ke-32 yang pernah memerintah negara kuasa besar dunia tersebut mulai 1933 sehingga tahun kematiannya pada 1945 lalu.
Akibat terjangkit dengan penyakit polio, FDR terpaksa duduk di kerusi roda selama tempoh masa pemerintahannya malah beliau ada pembantu khas yang akan membantu untuk melancarkan pergerakan dirinya ke mana sahaja.
Setelah masuk ke Rumah Putih, FDR menjadikan bangunan kuno itu dapat memudahkan dirinya dan menjadi kompleks pemerintahan pertama di AS yang dianggap sebagai mesra terhadap pengguna berkerusi roda.
Selain bantu dirinya yang merupakan orang kelainan upaya (OKU), FDR juga pertama kali menamakan tempat itu sebagai Rumah Putih kerana sebelumnya ia dikenali dengan nama Rumah Eksekutif. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA