PERANG menangkap penerima rasuah bukan satu-satunya jalan menghapuskan rasuah. Kes rasuah membabitkan aktiviti sepasang penjenayah; yang membeli dan menjual undang-undang. Penjenayah bukan saja yang menerima tetapi juga yang memberi rasuah. Justeru, usaha menghapuskan kedua-duanya mesti paralel.
Penjawat awam yang menjaga undang-undang dan pelaksaan sistem adalah sasaran pemberi rasuah. Apabila seorang pemberi rasuah dibiarkan bebas, ia akan berlegar di sekitar 1.4 juta penjawat awam.
Kenyataan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar mengenai perlunya penjawat awam berkerjasama untuk memerangkap perasuah, satu peringatan yang bijak.
Menurut Zainul, penjawat awam apabila didekati perasuah, perlu mendapatkan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Taktiknya, sekali pun penjawat awam menolak tawaran pemberi rasuah, perangkap mesti dipasang.
Usaha mesti dibuat bagi memastikan kegiatan pemberi rasuah segera berakhir. Caranya ialah mengheret perasuah ke mahjamah berdasarkan wujud tawaran rasuah melalui bukti transaksi pemindahan wang.
Apabila penjawat awam menolak dan membiarkan pemberi rasuah bebas begitu sahaja, ia menyebabkan penjenayah ini meneruskan usaha jahatnya dengan mencari sasaran baharu.
Tanpa perangkap dan pendakwaan, aktiviti pemberi rasuah berterusan dan menyebabkan jenayah rasuah sukar dibendung.
“Kekurangan bukti dan saksi menyebabkan pihak berkuasa sukar untuk mendakwa pemberi rasuah. Hari ini ramai yang didakwa adalah penerima rasuah.
“Oleh itu kerjasama daripada mereka yang cuba disogok amat penting bagi memastikan jenayah rasuah ini tidak terus berleluasa dan menjadi satu ‘penyakit’ berterusan dalam masyarakat kita,” katanya.
Cadangan Zainul sangat menarik. Malah, ini antara idea yang wajar dijadikan pelan tindakan bersama untuk mengheret pemberi rasuah ke mahkamah.
Ingat, pemberi rasuah ialah penjenayah tegar dan survival. Mereka sanggup melakukan apa sahaja. Apabila perasuah gagal membeli undang-undang di tangan seorang penjawat awam, bererti ia akan berusaha mendekati sumber yang lain pula.
Ini menjadikan jenayah rasuah terus berlegar.
Dalam keadaan sekarang, tangkapan hanya babitkan penerima rasuah, pemberi tetap masih bebas. Undang-undang akan menjadi usaha pencegahan sebelah pihak sahaja, yakni menangkap penerima.
Zainul berkata demikian sebagai mengulas tangkapan dan pendakwaan yang dilakukan SPRM terhadap beberapa pegawai tinggi kerajaan bagi membendung jenayah tersebut.
“Hampir semua kes yang didakwa sekarang melibatkan penerima, manakala pemberi rasuah masih bebas,” katanya. – MYNEWSHUB.CC