SANDAKAN – Seorang budak lelaki berusia 11 tahun, Mohd Helmizan Mohd Adizan, dikhuatiri lemas selepas tergelincir di Sungai Gum-Gum Batu 16 Jalan Labuk, hari ini.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan Haikal Jammy Ngali Abdullah berkata laporan mengenai kejadian itu diterima pada jam 1.57 tengah hari.
Beliau berkata berdasarkan laporan awam, Mohd Helmizan sebelum itu mandi bersama beberapa rakan dan dipercayai tergelincir di tebing sungai lalu dihanyutkan arus deras.
Operasi mencari dan menyelamat dimulakan pada jam 2.25 petang membabitkan 12 anggota bomba, polis serta Angkatan Pertahanan Awam, katanya.
Beliau berkata operasi mencari pelajar itu dihentikan pada 7.20 malam ini dan akan bersambung jam 7 pagi esok. – BERNAMA