KUALA LUMPUR – Akibat mencuri sebuah beg silang di sebuah pasar raya seorang peniaga air dihukum penjara sebulan dan didenda RM200 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Umzarul An-Nur Umar menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhammad Nur Azim Md Yatim, 21, selepas dia mengaku bersalah mencuri beg silang berharga RM119.97 di Tingkat 2, Pasar Raya Sogo, di Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini, pada 6.30 petang, semalam.
Mahkamah memerintahkan tertuduh yang sudah berkahwin itu menjalani hukuman dari tarikh dia ditangkap pada 2 Januari lepas.
Umzarul An-Nur turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara empat hari jika gagal membayar denda.
Dia dakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda jika disabit kesalahan.
Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam, merayu supaya dikenakan hukuman minimum dengan alasan dia menyara keluarga manakala Timbalan Pendakwa Raya Noor Jazilah Mohd Yushaa memohon hukuman setimpal. – BERNAMA