KUALA LUMPUR – Gara-gara mencuri seunit pembesar suara, dua pekerja restoran masing-masing dihukum penjara sehari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mahyudin Mohamad Som memerintahkan Nur Farlisa Mohd Nasri, 21, dan Abdul Muhaimin Mohamad, 22, menjalani hukuman itu dari tarikh tangkap pada 18 Januari lalu.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda tersebut.
Mereka didakwa mencuri seunit pembesar suara bernilai RM239 di kedai Popular Book Co (M) Sdn Bhd, Tingkat 2, Sunway Velocity, Taman Maluri, Cheras, pada 6.30 petang, 15 Januari lepas mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin manakala tertuduh tidak diwakili peguam
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini seorang penganggur mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mencederakan dua buruh warga Bangladesh menggunakan sebilah parang, Ahad lalu.
Muhammad Fidzraaddam Mohd Noor, 35, didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap Ashraf Md Ali, 42, dan Hossain Farid, 34, di tapak projek perumahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), di Jalan 44/31B, Pintasan Segambut, Sentul, di sini pada 7.30 pagi, 15 Januari lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Syamil Othman tidak mencadangkan sebarang ikat jamin bagaimanapun sekiranya mahkamah membenarkan jamin, beliau memohon syarat tambahan dikenakan terhadap tertuduh.
Hakim Datin M. Kunasundary membenarkan Muhammad Fidzraaddam diikat jamin RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Februari untuk sebutan semula kes. – BERNAMA