MALANG… Seorang budak perempuan yang berusia 7 tahun dibelasah bapa saudaranya di sebuah pasar raya di Shenzhen, selatan China gara-gara didakwa mencuri wang miliknya.
Video kanak-kanak itu dibelasah tersebar menerusi laman sesawang negara tersebut.
Difahamkan kejadian itu berlaku pada 21 Disember lalu, namun dikongsi oleh Pear Video menerusi laman mikro Weibo pada 4 Januari lalu.
Kejadian malang yang berlaku itu turut disaksikan oleh beberapa murid sekolah yang turut membeli-belah di pasar raya tersebut.
Menurut laman Legal Daily melalui siasatan ke atas video yang tersebar, bapa saudara kepada kanak-kanak itu mendakwa anak saudaranya telah mencuri wang miliknya berjumlah 3,000 yuan (RM1,938.96) dari dompetnya.
Malah lelaki itu juga mendakwa anak saudaranya turut mengambil kad debit miliknya.
Tindakan mangsa membeli-belah di salah sebuah pasar raya di Shenzhen diketahui bapa saudaranya sebelum lelaki itu bertindak memberikan ‘habuan’ dengan menghempaskan muka kanak-kanak itu ke atas rak barang di pasar raya berkenaan.
Menerusi video yang tular, kanak-kanak tersebut masih lengkap berpakaian sekolah dan lelaki yang berang itu dilihat menjerit ke arah beberapa murid lain yang turut berada di situ.
Pemilik kedai dan ibu bapa yang menyaksikan kejadian itu cuba menasihati lelaki itu namun tidak diendahnya sebelum bertindak menendang kanak-kanak itu hingga tercampak ke belakang.
Video sensasi berkenaan telah menyedarkan masyarakat negara itu sendiri tentang peri pentingnya teladan dan asuhan daripada ibu bapa.
Malah ada segelintir masyarakat negara itu yang mempersoalkan sistem perundangan tempatan dalam melindungi golongan lemah daripada keganasan rumah tangga. – MYNEWSHUB.CC