KUALA LUMPUR – Deklarasi Permatang Pauh kononnya jauh lebih hebat berbanding Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang diketengahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Demikian tanggapan buruk cuba diberikan Timbalan Angkatan Muda Keadilan (AMK) sayap Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Afif Bahardin ke atas TN50 gara-gara bimbangkan sambutan baik rakyat ke atasnya.
Beliau mendakwa kononnya, reformasi sistem dalam negara ini seperti yang termaktub di dalam Deklarasi Permatang Pauh adalah perkara yang diperlukan oleh generasi muda negara.
“Reformasi sistem mengembalikan integriti institusi penting negara, dan pengagihan ekonomi yang saksama serta pembentukan masyarakat yang madani dan adil untuk membawa negara ini lebih maju ke hadapan dengan penuh gemilang,” dakwanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Perdana Menteri semalam meluangkan masa dua jam bertanyakan hasrat dan aspirasi belia untuk dijadikan input bagi pengisian dasar baharu negara itu kelak melalui TN50.
Dialog pertama TN50 yang turut disiarkan secara langsung di televisyen itu dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang menggalas mandat menyelaras dan menghimpunkan semua cadangan serta pandangan mengenai TN50.
Afif berkata, pembangkang tetap menuntut Najib meletakkan jawatan dengan segera walaupun kini ada TN50.
“Kita tidak rela masa depan negara ditentukan oleh pemimpin yang sanggup menjual kepentingan dan aset negara kepada kuasa asing China,” dakwanya semborono. – Mynewshub.cc