KUALA LUMPUR – Peserta Dialog Perdana Transformasi Nasional 2050 (TN50) menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pendengar yang baik selepas pemimpin negara itu meluangkan masa dua jam bertanyakan hasrat dan aspirasi belia untuk dijadikan input bagi pengisian dasar baharu negara itu kelak.
Penuntut Help University, Kiirtaara Aravindhan, 23, berkata keterbukaan Najib berinteraksi secara bersemuka dan mendengar aspirasi golongan muda memberi semangat kepada lebih ramai belia untuk berkongsi pandangan bagi TN50.
“Hari ini membuktikan perdana menteri kita seorang pendengar yang baik. Saya percaya rakan sebaya saya tidak kekok lagi untuk berkongsi hasrat kami melalui platform yang betul selepas ini,” katanya kepada Bernama.
Najib malam ini meluangkan masa berdialog bersama 500 peserta merentasi semua komuniti belia dari semua negeri di Malaysia untuk mendapatkan input keperluan warga Malaysia pada masa depan.
TN50, yang digagaskan Najib, merupakan dasar futuristik bagi memeta hala tuju negara untuk tempoh 30 tahun selepas 2020.
Seorang peserta yang diberi peluang menyampaikan hasrat kepada Najib pada dialong tersebut Adam Reza, 25, berkata format TN50 mempunyai kelangsungan untuk belia mengambil bahagian bersama pemimpin dalam memeta hala tuju negara.
“Format townhall yang menggunakan pendekatan dua hala ini dilihat lebih inklusif kerana kebiasaannya program pemimpin melibatkan komunikasi sehala dan kali ini saya pasti aspirasi kami berjaya disampaikan,” katanya.
Peserta berketurunan Orang Asli, Anim Nahurul Hida Khee King Huat, 22, pula berkata dialog yang disertai Najib itu berjaya membuktikan golongan muda adalah pencorak masa depan yang diperlukan negara.
Dialog pertama TN50 itu turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang menggalas mandat untuk menyelaras dan menghimpunkan semua cadangan serta pandangan mengenai TN50.- BERNAMA