SEORANG kanak-kanak berusia dua tahun mati dalam keadaan sadis akibat ditikam ibunya sendiri sebanyak 28 kali di Indonesia, pada Ahad lalu.
Dalam kejadian di Jalan Dahlia Ujung, Lingkungan IV, Desa Suka Makmur, Kecamatan Delitua, Sumatera Utara itu, mangsa, Mohamad Altahir, ditikam oleh ibunya, Pretty Juliana Ningsih Hasibuan, 32, sebanyak 28 kali menggunakan dua bilah pisau.
Menurut laporan Tribun Medan, Pretty mengalami masalah tekanan dan kemurungan selepas ditinggalkan suami.
Sementara itu, abang kandungnya, Sutan, yang menumpangkan Pretty tinggal di rumahnya sejak 12 tahun lalu mengakui terkejut dengan insiden itu.
“Sewaktu kejadian, saya tidak berada di rumah. Lagi beli nasi di warung. Saya tidak menyangka, dia bertindak sedemikian,” kata Sutan.
Menurut kakak ipar Pretty, Melisa, mereka mengetahui penyakit kemurungan yang dialami Pretty dan selalu membawanya pergi berubat.
Semasa hari kejadian, seorang jiran bernama Dewi ternampak dua anak Sutan iaitu Jafa dan Radit berlari keluar dari rumah sambil menangis dan meminta tolong.
Dewi lantas bertanyakan apa yang berlaku tatkala melihat riak ketakutan yang tepancar di muka kedua-dua kanak-kanak tersebut.
Berikutan itu, Dewi bergegas masuk ke rumah Sutan.
“Bila saya masuk ke rumah, saya lihat mangsa sudah mati dengan ususnya terburai. Seluruh badan mangsa penuh dengan kesan tikaman dan paling banyak di bahagian perut selain ususnya terkeluar sepanjang satu meter,” kata Dewi.
Sementara itu, seorang warga setempat sempat menyoal siasat Pretty dan dia memaklumkan bertindak sedemikian kerana melihat ada bayangan perompak yang masuk ke rumah abangnya sebelum menikam ‘perompak’ yang merupakan anaknya itu.
Dalam perkembangan lain, suspek telah dibawa oleh pihak berkuasa ke hospital sakit jiwa untuk pemeriksaan lanjut. – MYNEWSHUB.CC