GEORGE TOWN – Polis menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas dadah jenis heroin seberat 3.64 kilogram bernilai RM56,800 di Jalan Paya Terubong, di sini Jumaat lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang Supt Maidu Abu Bakar berkata dua lelaki berusia 21 dan 23 tahun itu ditahan pada pukul 2 petang ketika menaiki sebuah motosikal.
“Hasil pemeriksaan dalam beg galas yang dibawa mereka, polis menemui lapan bungkusan kertas surat khabar yang setiap satu berisi satu paket lutsinar dipercayai dadah jenis heroin.
“Dadah yang dirampas itu dipercayai untuk pasaran tempatan,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata siasatan awal mendapati dua lelaki yang tidak bekerja itu dalam perjalanan menghantar bekalan dadah kepada pelanggan.
Kedua-dua lelaki itu kini direman sehingga 13 Jan bagi membantu siasatan, katanya. – BERNAMA