BOLEHKAH seseorang itu memakai baju mempunyai gambar binatang atau orang, sama ada kecil, besar, jelas atau tidak ketika menunaikan solat?
Demikian soalan yang sering diajukan oleh orang ramai berkenaan hukum memakai pakaian yang bergambar ketika bersolat.
Insiden baru-baru ini yang membabitkan seorang wanita ditolak ketika bersolat hanya kerana memakai baju t-shirt ‘Snoopy’, turut mencetuskan pelbagai persoalan daripada kalangan orang ramai.
Kaitan: Diserang Makcik Kolot Ketika Solat Gara-Gara Baju ‘Anjing’
Jawapannya adalah ‘HARUS’, selagi mana gambar tersebut itu tidak mengganggu dan mendatangkan fitnah.
Menurut penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus, memakai baju bercorak haiwan bukanlah perkara atau hal yang membatalkan sembahyang.
“Sah sembahahyang seseorang itu kerana ia tidak termasuk dalam perkara-perkara yang membatalkan sembahyang.
“Cuma ulama kata makruh memakai pakaian yang bergambar-gambar di dalam sembahyang ataupun pakaian yang bertulisan kerana dikhuatiri melalaikan orang yang membacanya,” ujarnya melalui rakaman video.
Sebagai contoh, sekiranya anda pernah pakai baju ‘Langkawi’ yang ada gambar burung helang atau baju Terengganu yang ada gambar seekor penyu, anda mungkin akan dilihat biasa sahaja dan pastinya tiada yang menyoal cara pemakaian anda ketika bersolat.
Tetapi apabila anda memakai baju yang mempunyai gambar tengkorak ketika sembahyang, pasti ada yang tampil memberi anda ‘ceramah free‘ dek kerana ia boleh dikira mengganggu dan boleh mendatangkan fitnah. Jadi kalau perkara yang boleh menggangu ini seeloknya dielakkan kerana hukumnya adalah makruh.
Semoga pencerahan ini dapat memberikan manfaat berguna yang boleh kita amalkan selepas ini. –MYNEWSHUB.CC