LONDON – Grand Prix (GP) British boleh digugurkan daripada kalendar perlumbaan Formula Satu (F1) untuk tempoh setahun, jika pemilik Litar Silverstone enggan menganjurkannya pada 2019, kata supremo Bernie Ecclestone.
Reaksi Ecclestone itu hadir selepas Presiden Kelab Pemandu-Pemandu Perlumbaan British (BRDC) memberi amaran terhadap ahli organisasi terbabit mengenai daya saing perlumbaan berprestij tersebut.
Ecclestone, 86, berkata dia tidak membayangkan GP British akan hilang selama-lamanya, sebaliknya mungkin terhenti untuk tempoh setahun.
“Kami tidak mahu kehilangan F1 di Britain. Mungkin akan ada setahun tanpanya, namun secara normal ia tiada apa-apa,” kata Ecclestone kepada stesen ITV News.
“Kami tidak bimbang hilang F1 dari England, saya bimbang hilang F1 di Silverstone, itu saja.”
Ecclestone yang gagal dalam cubaan membawa perlumbaan elit itu ke Donington pada 2009 juga mendakwa ada peningkatan minat daripada dua venue untuk menganjurkan perlumbaan terbabit, namun enggan mendedahkannya.
“Saya tidak akan berkata ia di mana,” katanya ketika ditanya ketika diasak dengan persoalan sama ada ia adalah di Litar Brands Hatch atau di London.
Selain itu, Ecclestone yang memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif F1 selama hampir 40 tahun turut mengkritik kerajaan Britain kerana tidak membantu mengurangkan kos perlumbaan terbabit.
“Ia baik untuk England, baik untuk perniagaan, baik untuk semua orang.
“Bukan saja syarikat-syarikat F1… kami boleh pergi ke mana saja,” katanya. Presiden BRDC, John Grant menerusi surat yang diterbitkan oleh ITV News, kelmarin berkata syarikat itu berdepan ‘kos yang merosakkan’.
“Lembaga Pengarah menimbang sama ada kami perlu memberikan notis sebelum perlumbaan GP British 2017 mengenai hasrat kami untuk mengaktifkan klausa rehat dalam kontrak GP British pada penghujung 2019,” katanya.
“Kami perlu melindungi kelab. Kami berdepan risiko potensi yang merosakkan dari beberapa tahun yang tidak baik,” katanya. Perlumbaan F1 tahun ini yang dijadualkan pada Julai ini tetap akan diteruskan. – AFP