LONDON – Pep Guardiola enggan mempercayai musim pertamanya selaku pengurus Manchester City boleh dirumuskan gagal seandainya The Citizens gagal menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Guardiola menjulang kejuaraan liga pada musim pertamanya mengemudi Barcelona dan Bayern Munich, namun City ketika ini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Chelsea selain menghuni tangga kelima liga susulan kekalahan 1-0 ke atas Liverpool.
Ketika ini, pengurus kelahiran Sepanyol itu belum dapat melihat sama ada City mampu menjuarai gelaran liga tetapi berkata dia gembira dengan cabaran baru iaitu menjadi pemburu berbanding diburu.
“Kami diletakkan begitu banyak tekanan, ‘Oh jika kamu tidak memenangi Liga Perdana, ia tidak akan menjadi musim yang baik’,” katanya selepas kekalahan kepada The Reds pada malam tahun baru di Anfield.
“Tidak, mengenai situasi ini kami perlu menganalisa apa yang berlaku pada penghujung musim, apa yang baik, apa yang buruk. Ketika ini hanya fokus kepada perlawanan berikutnya menentang Burnley.
“Saya sentiasa berada di puncak ketika bersama Barcelona dan Bayern Munich. Tetapi OK, ini adalah babak baru dalam karier saya sebagai pengurus dan saya cuba mengawal dan saya cuba mengharunginya bersama pemain ini.”
Chelsea ketika ini menghuni puncak liga selepas mencatatkan 13 kemenangan berturut-turut tetapi Guardiola tidak percaya kelebihan yang dimiliki kelab London itu tidak boleh diatasi.
“Saya pada satu ketika bersama Barcelona ketinggalan sembilan mata, menentang Real Madrid saya fikir.
“Ketika itu Februari atau Mac dan selepas kami pulih (sehingga jurang menjadi hanya) empat (Real memenangi La Liga pada 2012.) Namun persoalannya, adalah kami mampu merapatkan jurang dengan Chelsea? Apa yang kami perlu lakukan ketika ini ialah percaya pada perlawanan selepas ini.” – AFP