KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menolak bantahan awal pihak pendakwaan terhadap permohonan seorang pereka grafik bagi membatalkan pertuduhan yang dihadapi kerana didakwa memuat naik gambar palsu perdana menteri di akaun Instagramnya, Januari tahun lepas.
Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohamad Shariff Abu Samah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli dan peguam Syahredzan Johan, yang mewakili Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin selaku pemohon.
Mohamad Shariff ketika membuat keputusan itu berkata mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Mohd Fahmi Reza bagi membatalkan pertuduhan berkenaan.
“Oleh itu, mahkamah menolak bantahan awal yang dikemukakan pihak pendakwaan,” katanya yang turut menetapkan 23 Februari untuk mendengar hujahan kedua-dua pihak.
Pada 17 Ogos 2016, Mohd Fahmi Reza, 40, memfailkan permohonan untuk membatalkan pertuduhan atas alasan Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 adalah tidak berperlembagaan kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan selain mendakwa pertuduhan itu cacat dan tidak lengkap.
Pihak pendakwaan pula memfailkan bantahan awal pada 19 Oktober 2016, atas alasan kesemua usul yang diajukan pemohon tidak menepati kehendak sebarang peruntukan undang-undang berkenaan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Pada 6 Jun 2016, Mohd Fahmi Reza mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memuat naik gambar palsu perdana menteri bertujuan menyakitkan hati orang lain, di akaun Instagramnya.
Dia didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi melalui laman profil Instagram ‘kuasasiswa’ di suatu pautan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, pada 31 Januari 2016.
Pautan itu kemudian didakwa telah dibaca di satu alamat di Bandar Bukit Puchong 2, Puchong, Selangor, pada 6 petang, 1 Februari 2016.
Mohd Fahmi Reza didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum menurut Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksmimum RM50,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – BERNAMA