KUALA LUMPUR – Susulan insiden seorang pemandu lori dibelasah teruk oleh sekumpulan samseng di Ampang, Selangor, geng pemandu lori mula bertindak balas dengan cara tersendiri!
Kumpulan pemandu kenderaan berat tersebut dilaporkan mula ‘memburu’ sebuah kereta mewah model Mercedes Benz dengan nombor pendaftaran WWC 8908 yang pemiliknya disyaki konon sebagai dalang kes serangan itu..
Sebanyak 13 imej skrin status dimuat naik para pemandu lori menjadi tular menerusi media sosial yang menyatakan mereka nekad memburu tuan punya kereta berkenaan sehingga mengakibatkan rakan mereka nyaris maut.
Kebanyakan meluahkan perasaan berang dengan tindakan biadap sekumpulan lelaki yang terlibat dalam kes tersebut apabila sewenang-wenangnya membelasah mangsa hanya kerana hal kecil – terlanggar sipi kereta tersebut.
Masing-masing mencatatkan nombor plat kereta tersebut dan turut diletakkan di dashboard atau papan pemuka kenderaan sebagai peringatan jika terserempak dengan kenderaan mewah itu untuk tindakan susulan.
Antara kawasan yang dipantau oleh geng pemandu lori terbabit ialah sekitar Lembah Klang termasuk Kinrara, Jalan Genting-Klang, Ampang, Jeram, Sungai Buloh malah sehingga yang sejauh di Melaka, Johor dan Ipoh, Perak.
Menurut pihak berkenaan, tindakan itu diambil kerana apa yang berlaku pada mangsa adalah tidak wajar. Masalah yang timbul hanya isu kecil dan boleh diselesaikan dengan cara baik tanpa perlu melibatkan pertumpahan darah.
Selain itu juga, ia sebagai tanda sokongan kepada mangsa yang menerima 13 jahitan di belakang kepala dari bawah telinga kiri hingga ke leher. Mangsa yang berusia 25 tahun juga tidak menyangka dia akan dibelasah begitu teruk.
“Saya tidak berdendam walaupun mereka tergamak belasah saya sedemikian rupa. Biarlah polis buat kerja mereka. Saya pun bukan siapa-siapa, hanya pemuda yang cari rezeki dengan memandu lori,” katanya dipetik Harian Metro.
Sementara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya telah menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kes tersebut dan menafikan ada VIP terlibat sama. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA