TEMERLOH – Sebaik sahaja banjir surut, kerajaan Pahang bercadang mengadakan kempen sukarelawan bagi membersihkan lokasi tumpuan pelancong yang terjejas akibat banjir sebelum mempergiatkan semula promosi Tahun Melawat Pahang 2017 (TMP2017).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata beberapa pusat pelancongan yang terjejas terletak di Temerloh, yang paling teruk dilanda banjir ketika ini.
“Kita telah mengambil kira faktor banjir semasa merangka pelan TMP2017 dan selalunya banjir berlaku hujung tahun. Sebab itu kita mengisytiharkan TMP2017 agak lewat, iaitu 20 Jan lalu.
“Malangnya banjir berlaku lewat iaitu selepas kita memulakan TMP2017. Namun kita terima dan akan kembali menggerakkan jentera (promosi) apabila banjir surut nanti,” katanya semasa dihubungi Bernama, di sini, hari ini.
Beliau berkata antara lokasi pelancongan di Bandar Ikan Patin itu yang terjejas ialah Taman Air Mini Kubang Gajah dan Restoran Gobang Maju, yang tersenarai dalam kalendar TMP2017 sebagai destinasi pilihan masakan gulai patin tempoyak.
Pemilik Gobang Maju, Muhammad Rizal Muhammad Rosli, 39, berkata air Sungai Pahang mula melimpah ke dalam premis perniagaannya pada 9 pagi semalam dan meningkat ke paras lutut dalam tempoh setengah jam.
Beliau bersama-sama 20 pekerjanya kemudian memindahkan peralatan elektrik ke bahu jalan manakala meja dan kerusi ditindihkan antara satu sama lain supaya tidak dihanyutkan arus.
Muhammad Rizal berkata beliau menjangkakan restoran yang mula diusahakan ibu bapanya sejak 20 tahun lalu itu terpaksa ditutup selama seminggu bagi membersihkan kedai.
“Agak sayang kerana banjir kali ini berlaku pada musim perayaan (Tahun Baharu Cina) dan cuti sekolah iaitu waktu puncak apabila ramai yang pulang ke kampung dan jalan Temerloh-Bera antara jalan utama menghubung Pahang dan Negeri Sembilan.
“Hujung minggu pula kelab motosikal atau kereta akan singgah selepas berkonvoi,” katanya dan menambah kali terakhir kedainya dilanda banjir pada 2014. – BERNAMA