GILA, itu yang dilabelkan polis ke atas seorang lelaki warga emas berusia 70 tahun, yang membunuh isterinya berasal dari China, Li Ping Cao, 42, dan kemudiannya menggunakan asid untuk menghilangkan jejak wanita itu.
Pembunuhan itu berjaya diselesaikan selepas polis menemui 10 batang gigi palsu milik Li Ping di dalam parit. Mangsa sebelum itu dilaporkan hilang pada Oktober 2011.
Sebagai balasan perbuatan kejamnya itu, Klaus Andres telah dihukum penjara seumur hidup oleh mahkamah di Cairns.
Ketika kes itu dibicarakan, pihak berkuasa mula berasa curiga dengan Klaus kerana dia langsung tidak berasa bimbang dengan kehilangan isterinya itu. Malah dia menuduh Li Ping melarikan diri selepas curang.
Pasangan itu bertemu dalam talian dan berkahwin selama tujuh tahun. Pihak berkuasa mengesyaki Klaus membunuh isterinya selepas pemeriksaan ke atas kad ATM mendapati dia membeli asid dalam jumlah yang banyak.
“Itu yang mencetuskan kebimbangan kepada kami. Dia bukan sahaja membeli asid dalam sehari, malah beberapa hari dengan keseluruhan 60 liter asid, iaitu satu jumlah yang banyak,’’ kata pegawai penyiasat, Brad McLeish.
Hubungan sulit dikenal pasti sebagai motif pembunuhan. Klaus dikesan menjalin hubungan dengan seorang wanita Thailand dan telah meniru tandatangan isterinya untuk mengutip bayaran Centrelink.
“Saya tidak suka guna perkataan gila, tapi itulah personalitinya. Dia tamak, jahat dan angkuh,’’ katanya. – mynewshub.cc