KUALA LUMPUR – Globalisasi ada sisi baiknya dan Tun Dr. Mahathir Mohamad harus sedar akan realiti ‘dunia baharu’ kata Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.
Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata kenyataan Dr. Mahathir menunjukkan beliau masih berfikiran ‘orang lama’ dan tidak menyedari bahawa dunia sudah berubah sejak beliau menjadi Perdana Menteri 14 tahun dahulu.
Mengulas catatan dalam blog Dr. Mahathir baru-baru ini, Salleh berkata sejak 1990-an, China yang merupakan gergasi tidur sejak beratus tahun lamanya, tiba-tiba bangun dan sebaik bangkit, tiada apa yang dapat menahan mereka.
“Adalah usaha yang sia-sia untuk menahan langkah besar China maju ke hadapan seperti juga sia-sia untuk menghalang penjajahan Barat 500 tahun dahulu. China sedang bergerak maju dan tiada siapa yang boleh menghalang mereka.
“China kini membuat pelaburan di seluruh dunia, mewujudkan perkongsian, dan membeli aset yang belum pernah berlaku dalam sejarah, dan ini merupakan fenomena yang perlu diterima negara seperti Malaysia atau ia akan ketinggalan dan binasa,” kata Salleh dalam catatan blog beliau sskeruak.blogspot.my/ hari ini.
Salleh berkata Dr. Mahathir masih berfikiran ‘old school’ dan tidak sedar bahawa dunia telah berubah berbanding ketika beliau menjadi Perdana Menteri dahulu. Mahathir menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003.
“Kita telah diberi amaran bahawa walaupun globalisasi mempunyai sisi baik ia juga bermakna penciptaan dunia tanpa sempadan dan berakhirnya dasar fahaman perlindungan.
“Kita tidak boleh mengharapkan FDI (Pelaburan Langsung Asing) atau wang mengalir masuk ke negara kita tetapi kita tidak bersedia untuk melepaskan kawalan aset tertentu.
“Inilah realiti ‘dunia baharu’ dan Dr. Mahathir perlu sedar perkara ini. Satu lagi pilihan ialah untuk mengamalkan dasar ‘tutup pintu’ dan bersedia untuk mundur dan kekal miskin,” kata Salleh. – BERNAMA