JANJI terkini Tan Sri Annuar Musa satu suntikan semangat buat Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA). Walaupun serba kekurangan, skuad Kelantan akan kekal dalam Liga Super. Patah sayap bertongkat paruh; TRW tetap bersaing juga.
Annuar hari ini menyatakan secara terbuka dan penuh tanggungjawab: “Saya akan terus membantu KAFA mendapatkan dana yang mencukupi untuk mengharungi Liga Malaysia musim ini walaupun bukan lagi Presiden KAFA.”
“KAFA perlu bekerja keras kerana dana belum mencukupi. Saya akan terus membantu sekiranya diizinkan Tuhan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook beliau hari ini.
Tahniah kepada penaja TRW. Kemunculan Red One dan Alhamra pada 6 Januari sudah pembuka jalan. Kini Chengaljati, Yakult, Moccis F, Sinar, Puspamara, Mutiara dan Glo Glowing memeriahkan lagi destinasi Kelantan di Liga Malaysia.
Biarlah JCorp hanya sudi menaja pasukan juara dan banyak piala. Itu kesombongan dinasaur Bangsa Johor. Bagi negeri-negeri kecil, biar kalah lagak tapi harus menang semangat.
Bukankah bolasepak itu lambang semangat?
Biarkan JCorp mencanang kebanggaan menaja pasukan yang bertaraf juara Asia saja. Wang mereka hanya laku pada kelab yang ada 1.7 juta pengikut Facebook, misalnya. Duit JCorp hanya bernilai pada likes di Instagram yang pengikutnya melebihi 450,000. Nilai komersil bolasepak pada JCorp adalah pada pasukan yang Twitternya ada 121,000 pengikut.
Bagi kelab-kelab kecil yang kurang piala dan kurang pengikut media sosial, lupakan JCorp.
Kepada ratusan lagi syarikat pelbagai jenama, ayuh sahut seruan Annuar. Turun ramai-ramai bantu Kelantan. Jadilah ambulan yang tak kenal warna bangsa dan negeri dalam membantu detik kecemasan.
Jangan lupa: Besarnya mana pun sesuatu jenama, akhlak korporat adalah penambah nilai yang utama. – MYNEWSHUB.CC