GURU-GURU di sebuah sekolah menengah di Anhui, China, mempunyai kaedah tersendiri untuk mengelakkan pelajar mereka daripada menipu dalam peperiksaan, iaitu dengan menggunakan kertas surat khabar.
Kertas berkenaan dilekatkan di kepala pelajar dengan tujuan supaya mereka tidak akan menoleh ke kiri atau ke kanan.
Namun sebaik sahaja imej tersebut dimuatnaik dalam media sosial, ia telah mencetuskan perdebatan hangat di kalangan netizen yang menyifatkan ia sebagai tidak wajar.
Ia dianggap sebagai menghina maruah pelajar. Mereka menyifatkan tugas guru-guru menyelia peperiksaan akan menjadi mudah jika mereka berdiri di depan pelajar. Dengan cara itu guru dapat mengesan mana-mana pelajar yang cuba meniru.
Menurut laporan, gambar tersebut dimuatnaik oleh guru yang menyelia peperiksaan terbabit.
Dalam pada itu, jurucakap sekolah terbabit menjelaskan ia bukannya peperiksaan sebaliknya merupakan satu `game’ antara guru-guru dan pelajar. Melalui kaedah terbabit, ia dikatakan dapat membantu pelajar menghilangkan tekanan menjelang peperiksaan.
Sebelum ini, pihak berkuasa di China telah menggunakan kaedah mengesan penipuan degan menggunakan teknologi ala James Bond.
Ia termasuk menggunakan jaket canggih yang disambungkan dengan kamera tersembunyi yang dipasang di pen atau jam, bagi memantau pelajar dari luar dewan peperiksaan. – MYNEWSHUB.CC