SETIAP kali tiba penghujung bulan, pelbagai spekulasi berhubung harga minyak timbul memenuhi ruang media sosial.
Tidak terkecuali hari ini di mana mesej tersebut menjadi tular dalam kalangan pengguna yang berharap dakwaan tentang kenaikan harga minyak itu tidak menjadi kenyataan.
Bagaimanapun, Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, perkara itu mungkin benar walaupun belum dapat disahkan secara rasmi.
Menurut Khairul Annuar, penentuan harga minyak di pam kebiasaannya dibuat berdasarkan harga sebenar pasaran oleh kerajaan.
“Kalau ikut perkiraan, kenaikan yang tular di laman sosial termasuk WhatsApp itu mungkin betul namun tidak semestinya tepat.
“Nilai sebenar kenaikan harga minyak di pam itu hanya akan diumumkan malam ini selepas mendapat maklumat rasmi saja,” katanya yang memetik Harian Metro.
Berdasarkan spekulasi itu, harga bagi RON95 naik kepada RM2.25 berbanding RM2.10 seliter sebelum ini.
Harga RON97 pula naik kepada RM2.45 berbanding RM2.40 seliter manakala diesel ialah RM2.25 seliter berbanding RM2.05 seliter
Kerajaan menentukan harga minyak melalui sistem apungan terkawal, mengambil kira harga pasaran minyak mentah dunia dan kekuatan mata wang negara untuk bulan sebelumnya. – MYNEWSHUB.CC
Nota: Video sekadar hiasan.