SEREMBAN – Hentian sebelah Nilai arah Utara di Lebuhraya Utara Selatan di sini dilanda banjir kilat kira-kira pukul 9.30 malam ini.
Bagaimanapun setakat pukul 10.30 malam, air dilaporkan mulai surut.
Menurut Mejar Pertahanan Awam Mohd Rohaidi Halim hujan lebat sejak petang tadi mengakibatkan hentian tersebut mula dinaiki air kira-kira pukul 8 malam, dan air bertakung di persimpangan keluar.
“Kenderaan yang berhenti rehat, terpaksa berpatah balik dan menyongsang untuk keluar dari hentian tersebut.
“Pihak PLUS telah membantu mengeluarkan kenderaan-kenderaan yang terperangkap dan mengawal lalu lintas di lokasi,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, laman rasmi Twitter Plus melaporkan kira-kira pukul 9.55 malam berlaku banjir kilat di KM 287 Putra Mahkota menghala ke Nilai sekaligus menyebabkan trafik bergerak perlahan.
Seorang penunggang motosikal, Fakhruddin Norizan, 32, yang melalui jalan tersebut untuk pulang ke rumahnya di Bandar Ainsdale dekat sini berkata keadaan di lebuhraya tersebut sesak teruk, terutamanya yang menghala ke Kuala Lumpur.
“Ketika saya melalui jalan tersebut pada pukul 9.30 malam, hanya satu lorong menghala ke selatan, yang boleh dilalui.
“Menghala ke utara, kesesakan sudah bermula dari Hentian Rehat dan Rawat Seremban,” katanya.
Sementara itu, Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) melaporkan Stesen Komuter Batang Benar di Nilai dan Bangi dilaporkan turut mengalami banjir kilat kira-kira pukul 8.54 malam.
Banjir kilat itu menyebabkan beberapa perkhidmatan tren komuter terjejas antara sektor berkenaan.
Bagaimanapun keadaan kembali pulih pada jam 10.12 malam ini dan perkhidmatan tren berjalan seperti biasa.
Tinjauan Bernama mendapati perkhidmatan komuter di Stesen Batang Benar juga berjalan seperti biasa.
Menurut salah seorang pekerja di stesen berkenaan, banjir kilat menyebabkan berlakunya kelewatan tren bergerak selama kira-kira dua jam. – BERNAMA