KUALA LUMPUR – Skuad hoki wanita Singapura menyasarkan kedudukan dua teratas di Sukan SEA Kuala Lumpur Ogos nanti, kata jurulatihnya yang berasal dari Australia, David Viner.
Selepas hanya mengutip pingat gangsa ketika menjadi tuan rumah dua tahun lepas sewaktu dibimbing Sunil Prasad, pasukan itu kini mahu kembali menjadi pesaing utama kepada gergasi Asia Tenggara khususnya Malaysia dan Thailand.
Walaupun berdepan kekalahan besar kepada Thailand (0-4) dan Wales (0-7) dalam aksi Kumpulan A Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL) Pusingan Kedua yang sedang berlangsung di sini, pengendali berusia 66 tahun itu masih berkeyakinan tinggi.
“Kami masih dalam persiapan untuk Sukan SEA, kami juga mendapat bantuan daripada Institut Sukan Singapura untuk membantu meningkatkan prestasi pemain.
“Mara ke perlawanan akhir adalah sasaran kami dan sudah tentu ada peningkatan dalam pasukan ini walaupun berdepan masalah kecederaan,” katanya kepada Bernama.
Menurutnya, masalah utama yang dihadapinya adalah untuk mengumpulkan pemain kerana ada yang sibuk dengan pelajaran atau pekerjaan.
Selain itu, kata Viner, pemainnya juga sering gugup dalam kawasan 25 meter sehingga mensia-siakan banyak peluang menjaringkan gol apabila berdepan lawan yang kuat kerana terlalu menghormati lawan.
Beliau berkata skuadnya dengan purata umur 19 tahun, perlu menerapkan perancangan dan program yang berkesan bagi mencapai sasaran itu, selain memperbaiki ranking dunia mereka yang ketika ini pada kedudukan ke-43.
“Kami memerlukan rancangan yang sistematik untuk membaiki ranking. Ia tidak boleh melonjak terus ke tempat ke-20 daripada 43, anda perlu masuk dalam kelompok 30 teratas sebelum mencapai 20.
“Sebelum beraksi di WHWL ini, kami mengadakan dua siri perlawanan di Hong Kong untuk meningkatkan kualiti permainan,” katanya.
Beliau berkata pertemuan dengan Wales semalam, jelas mendedahkan kekurangan yang ada pada pasukannya walaupun anak buahnya cuba memberikan tentangan.
Namun, Viber yang mula mengendalikan skuad Singapura sejak Sept 2015, mengakui ia adalah pendedahan yang baik untuk pasukan mudanya menentang skuad dari Eropah.
Singapura akan menamatkan aksi peringkat kumpulan WHWL menentang pilihan utama yang juga pasukan nombor 15 dunia, Itali di Stadium Hoki Tun Razak, esok.
Sementara itu, bagi acara hoki dalam dewan Sukan SEA, Viner berkata skuad Singapura yang dilatih jurulatih lain ketika ini sedang menyertai pertandingan membabitkan pasukan dari Malaysia dan Indonesia.
Bagi Sukan SEA 2017 dari 19-31 Ogos depan, empat pingat emas ditawarkan bagi acara hoki iaitu masing-masing dua bagi hoki padang dan hoki dalam dewan. – BERNAMA