BANGKOK – Hujan lebat dijangka berterusan di Selatan Thailand dalam beberapa hari akan datang ketika kesan kerosakan pada infrastruktur dan kerugian dalam perniagaan akibat banjir hampir dua minggu di wilayah itu mula terungkai.
Jabatan Meteorologi mengeluarkan amaran bahawa kawasan di pantai timur dan barat di selatan Thailand diramal mengalami hujan lebat dalam beberapa hari akan datang, meskipun banjir di empat wilayah telah mula surut.
Jabatan Pencegahan dan Mitigasi Bencana berkata situasi di Yala, Pattani, Ranong dan Narathiwat kembali pulih, apabila air yang semakin surut membolehkan lebih ramai mangsa banjir pulang ke kediaman masing-masing manakala pihak berkuasa pula memeriksa kerosakan.
“Sejumlah 36 orang disahkan terkorban dan seorang masih hilang dalam bencana banjir ini,” kata ketua jabatan itu, Chatchai Promlert hari ini dan menambah, bencana itu yang melanda 12 wilayah di selatan Thailand, menjejaskan 1.2 juta penduduk.
Bencana ini mengakibatkan kerosakan kepada 17 agensi kerajaan, 592 batang jalan raya dan 106 jambatan, katanya.
Nakhon Si Thammarat adalah wilayah paling teruk terjejas banjir dengan merekodkan sembilan mangsa yang terkorban.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Apiradi Tantraporn dipetik oleh media tempatan sebagai berkata banjir buruk itu menjejaskan 68 peratus pengusaha perniagaan atau 43,000 perniagaan di selatan Thailand.
Pengusaha perniagaan ini, katanya, mewakili Baht100 billion (RM1=7.9Baht) dalam nilai perdagangan tetapi jumlah keseluruhan yang mereka alami berikutan bencana banjir itu belum dapat dipastikan.
Antara perniagaan yang terjejas adalah peruncitan dan perladangan, katanya.
Jabatan Lebuh Raya dalam penilaian kerosakan infrastruktur akibat bencana itu, berkata kira-kira Baht641 juta diperlukan untuk membaiki jalan dan infrastruktur berkaitan yang rosak akibat banjir.
Katanya 19 lebuh raya di selatan masih belum boleh dilalui berikutan bencana itu. – BERNAMA