KUALA BERANG – Demi keselamatan anak yang dikasihi, seorang ibu sanggup mendukung anaknya seberat 30 kilogram dan menghidapi sakit saraf mengharungi banjir ke pusat pemindahan.
Tina Abd Ghani, 36, yang juga ibu tunggal berkata beliau mendukung Danish Amjad Khairul Hasrizal, 10, sejauh 50 meter ke pusat pemindahan Menerong, di sini.
Ketika banjir berlaku, beliau yang bertugas sebagai pembantu perawatan kesihatan sedang dalam perjalanan ke tempat kerja di Klinik Kesihatan Kuala pada 7 pagi dan berpatah balik ke rumah sebaik mendapati air semakin naik di laluan utama.
Katanya Danish Amjad yang tidak mampu bergerak itu dijaga ibunya Jijah Said, 60, di kediaman mereka di Kampung Felcra Gunung Menerong, di sini.
“Ketika itu air mula memenuhi kawasan rumah dan saya tidak berfikir panjang, terus menukar uniform kerja sebelum memindahkan mereka ke pusat pemindahan Menerong.
“Saya mendukung anak meredah banjir berserta hujan. Ketika itu yang saya hanya fikirkan untuk menyelamatkan mereka sahaja.
“Selagi terdaya saya akan pikul anak saya walau beratnya mencecah lebih daripada 30 kilogram,” katanya ketika ditemui Bernama, di sini hari ini.
Sementara itu di Besut, rata-rata penduduk menganggap kejadian banjir kali ini agak luar biasa dan lebih teruk berbanding 2014.
Sesetengah kawasan yang tidak pernah dinaiki air sebelum ini juga terjejas malah tinjauan Bernama mendapati semakin ramai yang terpaksa berpindah ke tempat selamat.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (J3K) Gong Kemuntong, di sini, Mat Noor Mat Din berkata sejak pagi tadi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) membantu memindahkan mangsa dari beberapa buah kampung sekitar Jerteh untuk ke pusat pemindahan banjir di Masjid Hadhari, Jerteh.
“Kebanyakan mangsa terdiri daripada penduduk kampung sekitar bandar Jerteh seperti Kampung Cabang Tiga, Mak Sara, Tandak dan Gong Kemuntong,” katanya hari ini. – BERNAMA