SEBUAH video memaparkan Imam Masjidil Haram, Sheikh Maahir al-Muaqily berhenti semata-mata ingin menunggu seorang kanak-kanak golongan kurang upaya (OKU) selesai menunaikan solatnya kini tersebar di laman sosial.
Menerusi rakaman berdurasi 57 saat itu, Sheikh Maahir dilihat memeluk erat kanak-kanak lelaki istimewa berkenaan setelah selesai mengerjakan solat.
Video itu dirakam oleh seorang pengguna Twitter, @AbooMuslim yang kebetulan berada di tempat kejadian sebelum menjadi tular di kalangan orang muslim seluruh dunia.
“Imam Masjid al-Haram tunggu kanak-kanak ini selesai menunaikan solat supaya dia dapat memeluknya. Pada mulanya saya tidak sedar, tetapi selepas itu…” tulis AbooMuslim.
Video itu mendapat perhatian setelah netizen tersentuh melihat kegigihan kanak-kanak istimewa itu menunaikan ibadah di tanah suci Makkah, meskipun terpaksa kesukaran kerana kekurangan anggota yang dialami.
Kanak-kanak istimewa ini dikenali sebagai Ghanim Mohammed al Muftah dan dia hanya mempunyai bahagian kepala, tangan dan juga perut.
Selepas pertemuannya dengan Sheikh Maahir, kanak-kanak ini kemudian dibantu oleh pihak polis untuk memberikan laluan supaya dirinya dapat bergerak menggunakan tangan. – MYNEWSHUB.CC