BISKUT yang diatasnya berbentuk kon dengan pelbagai warna menjadi antara snek makanan zaman kanak-kanak yang paling popular dan sehingga kini ia masih boleh didapati di mana-mana kedai biskut di seluruh negara.
Sejak dahulu lagi, biskut yang dikenali sebagai biskut Iced Gem digemari oleh rakyat negara ini dan menikmatinya tanpa ada keraguan.
Namun, perkongsian seorang netizen yang menggunakan nama Lim Popo di Facebook membuatkan pengguna berasa curiga kerana dikatakan biskut tersebut mengandungi bahan yang tidak halal.
Dalam perkongsian tersebut, Lim Popo mendakwa terdapat dua jenis bahan yang digunakan untuk menghasilkan biskut tersebut iaitu dari minyak sayuran lobak putih dan lemak haiwan yang tidak halal.
Menurutnya, biskut tersebut digunakan kaum Cina untuk makan sepanjang mereka berpuasa.
Jelasnya, bunga gula yang berwarna warni itu dikatakan diperbuat daripada lemak supaya ia keras dan tahan lama.
“Eh, kenapa ramai orang Melayu suka makan biskut sembahyang orang Cina? Tahukah kawan-kawan bahannya?
“Biskut ini kebanyakan jual timbang, selalu bila ada kematian orang Cina akan bekalkan pada mayat tadi takut berjalan ke syurga dalam kelaparan,” tulisnya menerusi ruangan komen.
Bagaimanapun, posting Lim Popo itu sudah dipadam dan tidak dapat dilihat di media sosial.
Bagaimanapun, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi Unit Hal Ehwal Korporat, Bahagian Hab Halal menjelaskan biskut tersebut didaftarkan dengan nama Iced Gem dan dikilangkan serta dikeluarkan oleh beberapa syarikat yang merupakan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia.
Menurutnya, viral berkenaan dakwaan menyebut biskut tersebut dari lemak haiwan yang tidak halal mula disebarkan sekali gus mengundang keresahan dalam kalangan pengguna.
Jelasnya, kebanyakan pemborong akan menjualnya kembali dalam bentuk timbang atau sukat dalam paket yang kecil (pembungkusan semula) dan ada di antaranya yang belum memohon pensijilan halal.
“Justeru, jadilah pengguna yang bijak dengan mengutamakan produk biskut yang mempunyai Sijil/Logo Pengesahan Halal Malaysia atau Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh Jakim.
“Untuk semakan lanjut berkenaan produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia dan Logo Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh Jakim boleh layari www.halal.gov.my atau di aplikasi telefon pintar myJakim,” katanya menerusi kenyataan di laman Facebook hari ini.
Bagi sebarang kemusykilan dan penjelasan berkenaan isu-isu halal yang tular (viral) boleh layari laman Facebook Bahagian Hab Halal, Jakim di facebook.com/HabHalalJakim. – MYNEWSHUB.CC