KUCHING – Jenazah Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dibawa meninggalkan Masjid Jamek Sarawak di Petra Jaya di sini menuju ke Tanah Perkuburan Samariang, di sini.
Pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia mengusung keranda ke dalam van jenazah pada 1.25 tengah hari untuk dibawa ke tanah perkuburan itu, kira-kira dua kilometer dari masjid tersebut.
Orang ramai kelihatan berada di sepanjang laluan untuk terus memberi penghormatan kepada Allahyarham.
Adenan, 72, yang hampir tiga tahun menjadi ketua menteri, meninggal dunia akibat komplikasi jantung di Pusat Jantung Sarawak di Kota Samarahan dekat sini pada 1.24 tengah hari semalam.
Terdahulu Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai ribuan jemaah menunaikan solat jenazah selepas solat Zuhur di masjid tersebut. – BERNAMA