GENEVA – Operasi pembanterasan korupsi secara besar-besaran di China ternyata turut memberi kesan apabila mempengaruhi sebuah negara maju lain, Switzerland, lapor akhbar The Guardian.
Penjualan jam tangan mewah buatan Swiss yang sinonim dengan golongan kaya dan berpengaruh sepanjang tahun lalu mengalami penurunan sehingga 10 peratus, menurut kajian oleh persekutuan industri jam Switzerland.
Eksport jam tangan pada 2016 berkurangan hingga lebih daripada 2 bilion franc Swiss (kira-kira RM8.9 bilion) terutama disebabkan semakin sedikit warga China yang dapat membeli jam tangan mewah sebagai habuan rasuah.
Pengurangan permintaan daripada ekonomi kedua terbesar di dunia itu mengakibatkan tahun lalu adalah kedua terburuk bagi industri jam Swiss setelah krisis kewangan global pada 2009 menyaksikan kemerosotan 22 peratus.
Philippe Pegoraro, pakar ekonomi persekutuan industri jam tangan Switzerland menyatakan bahawa penurunan penjualan jam mewah turut meliputi Platinum World Time buatan Patek berharga AS$4 juta (RM17.7 juta) seutas.
Malahan jam tangan ‘termurah’ jenama Blancplain Leman dengan harga 9,750 pound sterling (kira-kira RM54,000) juga terjejas teruk susulan tindakan agresif pemerintah China menangani rasuah yang mula dilancarkan pada 2012.
Pada tahun itu, foto seorang pegawai muda kerajaan China, Yang Dacai, menjadi tular kerana masih lagi boleh selamba tersenyum di lokasi sebuah kecelakaan bas dan ramai netizen mengulas jam tangan dipakainya waktu itu.
Pengguna media sosial tempatan akhirnya membongkar dia memiliki koleksi 11 utas jam tangan mewah bernilai AS$100,000 (kira-kira RM443,000) menyebabkan Dacai dihukum penjara 14 tahun kerana terbabit korupsi.
Lazimnya pemakaian jam tangan mewah Swiss juga dapat dilihat dikenakan ramai pegawai atasan Rusia, selain isteri presiden Nigeria dan pemimpin pengasas kumpulan pengganas terkenal Daesh sendiri, Abu Bakr al-Baghdadi.
Badan induk bola sepak dunia, FIFA juga terseret dalam kontroversi rasuah berprofil tinggi melibatkan hadiah jam tangan Switzerland apabila banyak kes terbongkar menunjukkan ia kerap disumbangkan konon untuk tujuan amal.
Brazil malah didakwa pernah memberi 48 utas jam tangan Parmigiani berharga AS$25,000 (RM110,800) seutas untuk setiap pegawai FIFA dan 32 buah negara yang mengundinya bagi menjadi tuan rumah Piala Dunia 2016.
Sebelum pihak berkuasa China melancarkan gerakan pembanterasan korupsi, eksport jam tangan Swiss ke China meningkat 370 peratus antara 2005 hingga 2012, dengan nilai 1.6 bilion franc Swiss (kira-kira RM7.1 bilion).
Akibat penurunan drastik penjualan, sejumlah pengeluar jam tangan ternama Switzerland sudah mengumumkan pengurangan keuntungan dan membuang 3,000 pekerja sejak dua tahun lalu. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA