MONTREAL – Seorang juruterbang syarikat penerbangan Sunwing ditahan selepas didapati mabuk ketika berada dalam kokpit pesawat sebelum menerbangkannya dari Lapangan Terbang Calgary, barat Kanada.
Lelaki berusia 37 tahun itu dijumpai mabuk pada jam 7.00 pagi (1200 GMT) di dalam kokpit pesawat yang sepatutnya diterbangkan oleh juruterbang itu ke Cancun, Mexico.
Sebelum pesawat itu dijadualkan berlepas, kru dan kakitangan penerbangan yang lain mencurigai juruterbang itu kerana berkelakuan pelik sebelum pengsan di dalam kokpit.
Mereka kemudian memaklumkan kepada pihak berkuasa. Menurut polis, juruterbang itu dibawa keluar dari pesawat dan ditahan.
Hasil pemeriksaan selepas dua jam ditahan, polis mendapati lebih daripada tiga kali ganda jumlah alkohol (0.08 peratus di Kanada) yang dibenarkan dalam badan juruterbang itu.
Juruterbang itu didakwa kerana cuba mengawal pesawat dalam keadaan tidak stabil dan berdepan beberapa dakwaan lagi.
Menurut laporan media tempatan, jurucakap Sunwing berterima kasih kepada kru kerana berjaya mengawal keadaan ‘buruk’.
Pesawat Boeing 737 yang membawa 99 penumpang dan enam anak kapal termasuk juruterbang mabuk itu, kemudian diterbangkan juruterbang lain. – AFP