JOHOR BAHRU – “Jika kami bermain dengan 11 pemain, ia akan menjadi cerita yang berbeza.”
Demikian ulasan pemilik kelab bola sepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung kegagalan pasukan itu mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih untuk musim ini.
Menurut beliau, pasukan JDT sebenarnya menguasai perlawanan dan mencipta banyak peluang untuk menjaringka gol ketika menentang Kedah di Stadium Tan Sri Hassan Yunos di Larkin malam tadi.
Bagaimanapun, katanya, kad merah yang dikenakan ke atas salah seorang pemain JDT `membunuh’ pasukan itu, namun mengakui ia kad kuning kedua yang jelas untuk pemain berkenaan.
“Dengan 10 pemain adalah mustahil untuk bertahan dengan “ball possession” atau memberi tekanan yang lebih kerana anda akan mendedahkan pertahanan anda dan intensiti kecergasan pemain.
“Jika kita menerima kad merah pada 60 atau 70 minit permainan ia masih ok lagi. Tetapi untuk menerimanya sebelum separuh masa kedua saya tahu permainan tidak akan memihak kepada kami. 45 minit untuk menentang 11 pemain bukanlah mudah.
“Satu-satunya pilihan anda adalah untuk bertahan dan melakukan serangan pantas “counter attack”, Jadi selepas menerima kad merah permainan telah pun tamat bagi saya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Tunku Ismail menyindir ramai penyokong JDT seolah-olah mahu menjadi jurulatih pasukan JDT berdasarkan kritikan-kritikan yang dilemparkan.
Katanya, beliau tetap mengucapkan tahniah kepada pemain JDT dan jurulatih untuk semangat berjuang mereka sehingga ke wisel penamat.
Malah, beliau berasa gembira dengan prestasi pasukan itu dan yakin JDT akan menjadi semakin baik dan lebih baik pada masa akan datang.
“Masih ada 47 perlawanan untuk dilalui. Perjalanan masih jauh. Akan ada beberapa perubahan lagi menjelang bulan Jun untuk mencapai sasaran dan kita akan melihatnya nanti.
“Jadi jangan sedih. Ia bukan pengakhiran dunia ini. “Enjoy” sepanjang musim ini dan sentiasa bersatu,” katanya. – MYNEWSHUB.CC