KUALA LUMPUR – Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) digesa untuk mendaftarkan 23 pemainnya terlebih dulu dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) sekali gus bakal menamatkan teka-teki mengenai penyertaan The Red Warrior (TRW) pada musim ini.
Perkara itu dinyatakan bekas Presidennya, Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun Facebook miliknya selepas mengadakan pertemuan dengan EXCO KAFA di Kota Bahru semalam.
“Ini perlu mereka lakukan demi menjaga maruah Kelantan, menghargai sokongan penyokong setia, serta terus membangunkan bola sepak Kelantan,” katanya. Annuar dalam pada itu turut mengatakan dia akan menemui media pada 11.00 pagi hari ini bagi menjelaskan situasi terbabit di Kota Bharu, Kelantan.
TRW ketika ini dipalit kontroversi kekurangan dana sehingga penyertaan mereka pada kempen Liga M musim ini berada dalam keadaan tidak menentu.
KAFA menerusi Kongres Luar Biasa pada 29 Disember lalu memutuskan untuk menarik diri dari Liga M dengan keputusan itu dibuat berikutan badan induk berkenaan berhadapan masalah kewangan termasuk bayaran gaji pemain yang kritikal.
Persatuan itu dilaporkan mahu menarik diri daripada Liga M musim ini memandangkan KAFA hanya mempunyai RM800,000 hasil sumbangan penaja kecil sedangkan memerlukan kira-kira RM15 juta untuk kos keseluruhan pasukan itu.
Begitupun, bantuan daripada beberapa pihak termasuk kerajaan negeri menyaksikan pasukan itu tidak akan menarik diri daripada menyertai saingan pada musim ini. – Berita Harian