LAPAN remaja yang memanjat papan tanda ikonik ‘Ipoh’ hari ini tampil memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia dan mengakui kesilapan di atas perbuatan mereka.
Norfarihan Baharudin, 24, yang mewakili rakannya yang lain berkata, mereka sememangnya berhasrat memohon maaf lebih awal tetapi tidak diberi peluang untuk berbuat demikian selepas mendapat pelbagai kecaman daripada masyarakat.
“Kami faham bila dikecam masyarakat, tapi saya tak diberi peluang untuk memberikan keterangan. Hendak bercakap pun takut.
“Saya hendak memberitahu di sini, saya dan rakan lain ingin memohon maaf kepada masyarakat. Kami tahu perbuatan ini salah,” katanya yang dipetik Harian Metro.
Terdahulu, rakaman aksi sekumpulan remaja memanjat mercu papan tanda gergasi ‘Ipoh’ setinggi lebih 20 meter itu menjadi viral sejak empat hari lalu di media sosial.
Ia memaparkan pelbagai aksi berbahaya mereka tanpa memakai sebarang peralatan keselamatan, termasuk berbaring pada buaian kanvas yang dipasang pada kerangka tiang papan tanda tersebut.
Mereka sebelum ini mendakwa memperoleh kebenaran daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk melakukan perkara tersebut.
Bagaimanapun, ia kemudian dinafikan Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man yang berkata pihaknya tidak pernah menerima sebarang permohonan untuk memanjat papan tanda ‘Ipoh’ daripada mana-mana pihak.
Mengulas lanjut, Norfarihan turut mengakui beliau dan rakan yang lain amat menyukai kegiatan mendaki gunung dan bukit, malah pernah ke Thailand dan Vietnam bagi melakukan penggambaran vlog.
“Kami mempunyai latar belakang masing-masing. Jadi, bila kami memanjatnya, soal keselamatan sudah diambil kira tapi tak menyangka perkara begini akan berlaku,” katanya. – MYNEWSHUB.CC