SEPANG – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) merampas 10.7 kilogram dadah bernilai RM749,000 serta menahan dua wanita warga India tiga hari lepas.
Pengarahnya Datuk Hamzah Sundang berkata dadah jenis methamphetamine terbabit ditemukan dalam pemeriksaan ke atas bagasi milik kedua-dua wanita yang berusia 51 dan 57 tahun itu selepas tiba dari Chennai, India pada 7.45 pagi Isnin.
“Imbasan ke atas bagasi suspek menampakkan objek mencurigakan dan pemeriksaan lanjut yang dilakukan menemukan serbuk putih yang kemudian disahkan methamphetamine,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.
Dadah yang ditemukan di dalam kedua-dua bagasi dengan berat masing-masing 5.35 kg, disorok di bahagian bawah lapisan beg yang telah diubah suai, katanya.
Hamzah tidak menolak kedua-dua suspek yang mendakwa tidak mengenali satu sama lain merupakan anggota sindiket yang sama berdasarkan kuantiti dadah dan warna bagasi yang sama.
Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek pernah memasuki negara ini beberapa kali sejak dua tahun lepas.
“Kita belum dapat pastikan apa motif mereka memasuki negara ini sebelum ini, tetapi yang pasti dadah yang dirampas itu adalah untuk pasaran Malaysia dan bukan untuk ditransit ke negara lain,” katanya.
Kedua-dua wanita itu kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mengulas perkembangan berkaitan, Hamzah berkata JKDM KLIA menggagalkan 26 cubaan menyeludup dadah seberat 209.08 kg bernilai RM3.42 juta pada tahun lepas.
Selain itu, beliau berkata pasukan berkenaan juga berjaya mengesan lima kes membabitkan kesalahan import eksport dan keperluan mengikrar mata wang bernilai hampir RM500,000 bulan ini.
Kes yang merangkumi mata wang riyal, dolar Amerika Syarikat dan ringgit Malaysia itu membabitkan empat warga asing dan seorang penduduk tempatan, katanya. – BERNAMA