JOHOR BAHRU – Bintang import, Liridon Krasniqi muncul wira Kedah apabila menghasilkan gol kemenangan ketika menundukkan Johor Darul Ta’zim (JDT) 5-4 menerusi sepakan penalti, sekali gus merangkul Piala Sultan Ahmad Shah, malam ini.
Aksi perlawanan sumbangsih di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini, yang juga pembuka tirai Liga Malaysia (Liga-M) 2017, terpaksa dilanjutkan kepada sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sepanjang 90 minit permainan sebenar.
Keputusan 90 minit perlawanan antara Kedah yang juga juara Piala Malaysia dan JDT, juara Liga Super itu, diambil kira untuk Liga Super.
Namun sebelum itu, JDT yang dikendalikan jurulatih baharu, Benjamin Mora bagi menggantikan Mario Gomez, mendahului menerusi sepakan penalti kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-40.
Pengadil Suhaimi Mat Hassan menghadiahkan sepakan itu setelah pemain import tuan rumah, Federico Ferreira dijatuhkan dalam kawasan penalti oleh Mohd Asri Mardzuki.
Bagaimanapun, kegembiraan JDT itu tidak berpanjangan apabila Kedah berhasil meledakkan gol penyamaan pada minit ke-63, menerusi kapten mereka, Baddrol Bakhtiar.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan sebelum penentuan penalti diadakan bagi menentukan pemenang Piala Sultan Ahamd Shah.
Hadiah disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) Kevin Ramalingam. – BERNAMA