KUALA LUMPUR – Penaja utama skuad bola sepak Kelantan musim ini, Tan Sri Annuar Musa mengkategorikan The Red Warriors (TRW) sebagai pasukan ‘underdog‘ dalam saingan Liga Malaysia 2017.
Beliau yang juga bekas Presiden Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata, pasukan itu dianggap sebagai `underdog‘ pada musim ini kerana beraksi dengan persiapan dan bajet paling sederhana berbanding pasukan-pasukan lain.
“Saya ucapkan selamat maju jaya buat TRW yang bakal menempuhi perlawanan pertama petang. Sebagai pasukan ‘murah’ dan persiapan paling sederhana saya percaya TRW masih mampu bermain cantik, menarik dan menang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Annuar dalam pada itu itu berharap pemain skuad bola sepak Kelantan dapat mempamerkan `keajaiban’ mereka walaupun berada dalam sebuah pasukan dengan bajet sederhana.
Pasukan TRW dilanda kemelut kewangan bermula pertengahan musim lalu selepas penajanya, Vida Beauty Sdn. Bhd. mengambil keputusan menarik diri berikutan prestasi tidak menentu pasukan berkenaan. – MYNEWSHUB.CC