ALIFF Syukri! Anda telah melakukan kesilapan tetapi anda juga telah melakukan permohonan maaf yang berhemah.
Semuanya gara-gara rakaman dalam program Oh! Abang Kosmetik.
Shamsani! Anda menjadi mangsa tetapi pembelaan diri cara anda sangat berhemah lagi mulia.
Sebenarnya bukan mudah merakamkan program realiti. Banyak kemahiran editorial dalam memaparkan kandungan diperlukan terutama dalam menguruskan fakta real dan kesan terhadap persepsi umum.
Aliff cuba melakukan eksperimen sosial yang real mengenai respons oranv awam dalam konteks paparan mengenai tindak balas spontan terhadap pengemis. Ia konten biasa dalam pemberitaan konvensional malah kontem biasa juga dalam program realiti.
Cuma secara editorial – dalam kes Aliff, ia membabitkan maruah seorang peniaga.
Tahniah pada respon awal Shamsani. Anda seorang muslim sejati. Anda bangkit menyatakan kesan moral yang dialami sebagai manusia tetapi lebih hebat anda memberikan respon yang penuh hikmat. Anda menuntut keadilan dan kejujuran tetapi bukan hentaman dendam mahu pun ugutan wang.
Hikmah awam dalam kes ini ialah: Bagaimana kesilapan telah mengajar kita menjadi manusia lebih mulia.
Bahawa, sebagai muslim yang berpegang kepada konsep akhlak: Kemaafan adalah perwatakan terhebat dalam menangani emosi apabila wujudnya kesilapan orang lain.
Kita tidak tahu apa yang akan berlaku seterusnya. Tetapi respons Shamsani dan Aliff sangat mengagumkan. Shamsani mendahulukan akhlak dalam menyatakan hak. Respons Aliff juga tidak kurang menginsafkan: Dia meminta maaf tanpa syarat dan penafian.
Setakat ini kita belajar mengenai ketinggian akhlak. Seorang peniaga telah mengajar kita mengenai ketinggian budi dalam membela diri. Manakala seorang usahawan pula menginsafkan kita dengan kata maaf tanpa dolak-dalik apabila sudahmelakukan kesilapan.
Ayuh! Bergeraklah kita dalam keinsafan. Islam itu agama persaudaraan. Hikmahnya: Moga akan bersaudara dan bersahabat akrablah antara Aliff dan Shamsani selepas ini. Takdir telah menemukan anda berdua!
Berikut petikan kata-kata maaf Aliff: “Assalamualaikum semua… saya ingin membuat permohonan maaf kepada mereka yang terlibat dalam rancangan Oh! Abang Kosmetik di pasar tani terutamanya abang peniaga kopiah yang banyak terasa hati.
“Saya tidak sangka, perkara ini akan menjadi besar. Saya tahu saya salah dan saya janji tidak akan mengulangi kesilapan seperti ini.
“Yang baik itu datang daripada Allah, dan yang kekurangan itu datang dari diri saya sendiri,” katanya.