MOGADISHU – Sejumlah 320,000 kanak-kanak dikhuatiri kebuluran akibat kemarau yang kini melanda Somalia, lapor agensi kemanusiaan PBB (UNOCHA), hari ini.
“Kemarau berpanjangan menyebabkan ratusan ribu rakyat Somalia kekurangan makanan dan air. Secara keseluruhannya, kira-kira lima juta orang memerlukan bantuan kemanusiaan,” kata jurucakap UNOCHA, Peter de Clercq.
Menurutnya, penderitaan kemanusiaan di negara ini dicetuskan oleh konflik, kejutan bermusim dan wabak penyakit biasanya sukar diterima, tetapi kesan kemarau kali ini lebih serius.
Somalia adalah antara beberapa negara Afrika Timur, termasuk selatan Sudan, Ethiopia dan Kenya, yang kini mengalami kemarau terburuk dalam tempoh lima tahun.
“Ia menyebabkan kekurangan makanan dan kematian ternakan di seluruh rantau ini,” kata de Clercq.
Negara ini memerlukan RM3.8 bilion (800 juta euro) untuk melaksanakan operasi ‘mengelak malapetaka’ akibat kemarau kerana sistem amaran awal, FEWSNET, meramalkan ‘kebuluran akan berlaku,’ jika tiada hujan sepanjang 2017. – AFP/BH ONLINE