NEW DELHI – Sekurang-kurangnya 13 maut dan 100 lagi cedera selepas sebuah kereta api ekspres tergelincir di tenggara India , malam tadi.
Tujuh gerabak dan bilik enjin kereta api ekspres Jagdalpur-Bhubaneswar tergelincir kira-kira jam 11 malam semalam waktu tempatan, berhampiran stesen kereta api Kuneru di daerah Vizianagram di Andhra Pradesh.
“Tiga belas disahkan meninggal dunia dan ramai lagi cedera. Mangsa yang cedera dipindahkan ke dua hospital berhampiran,” kata jurucakap East Coast Railways, J P Mishra.
Pegawai syarikat kereta api dan kerajaan tempatan menjalankan kerja menyelamat dan tren bantuan dihantar untuk memindahkan penumpang. Beliau berkata, punca nahas belum diketahui.
Kereta api itu yang menuju ke Bhubaneswar, ibu negeri Odisha dari bandar raya Jagdalpur, tergelincir hampir 160 kilometer dari Visakhapatnam, bandar raya paling dekat dengan lokasi nahas.
Kira-kira dua bulan lalu, 146 maut apabila kereta api penumpang tergelincir di Kanpur, utara India.
Bulan lalu, dua terbunuh dan berpuluh lagi cedera apabila kereta api tergelincir, juga berhampiran Kanpur, di negeri Uttar Pradesh.
Kereta api masih menjadi pengangkutan utama untuk perjalanan jauh di negara itu, tetapi dana tidak mencukupi dan kemalangan maut kerap berlaku.
Laporan kerajaan pada 2012 menyatakan, hampir 15,000 terbunuh setiap tahun dalam kemalangan kereta api dan menyifatkan ia sebagai ‘pembunuhan beramai-ramai’ tahunan. – Agensi