KUALA LUMPUR – Kerja pembaikan paip pecah berdekatan Kompleks Kolam Air Pantai, Jalan Pantai Bahru siap pagi ini dan bekalan air ke kawasan terjejas dijangka pulih secara berperingkat.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan di sini berkata kerja pembaikan itu mengambil masa yang lebih lama kerana penggantian beberapa batang paip.
“Bagi premis yang terletak di kawasan tinggi, sistem agihan akan mengambil sedikit masa untuk pulih sepenuhnya,” katanya.
Menurut kenyataan itu, pengguna di kawasan terjejas akan dibekalkan dengan bekalan air yang dihantar lori tangki.
Pengguna yang ingin mendapat maklumat terkini mengenai pemulihan bekalan air itu boleh layari www.syabas.com.my, aplikasi telefon pintar ‘mySyabas’, Facebook ‘Air Selangor’ atau Twitter ‘air_selangor’.
Ahad lepas, Syabas melaporkan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya mengalami gangguan bekalan air susulan kejadian paip pecah itu. – BERNAMA